Feb 7, 2026

Samsung Galaxy S26 dan S26 Ultra: Berbaloi Beli atau Baik Beli.....?

 


Dah masuk bulan Februari ni, pastikan ramai yang menantikan versi baru dan flagship terbaik Samsung. Namun, setiap kali Samsung nak keluarkan flagship Galaxy S baru, mesti soalan yang sama keluar: 

“Yang ni betul-betul lebih hebat ke, atau hanya tukar nombor versi je, atau baik beli .......?” 


Dan secara jujurnya kali ni upgrade dia bukan gempak gila, tapi lebih kemas dan relevan untuk situasi pasaran smartphone terkini. Sebab sekarang harga smartphone t
engah mencanak naik sebab RAM dan storan jadi mahal di pasaran sekarang.


Jom Lihat Spesifikasi Samsung Galaxy S26 dan S26 Ultra


Kalau tengok Galaxy S26 versi biasa, perubahan paling ketara ialah skrin dia. Dari 6.2 inci (S25) naik sikit jadi lebih kurang 6.3 inci. Nampak macam kecil je beza tu, tapi bila bezel makin nipis, screen rasa lebih luas dan sedap untuk layan YouTube, TikTok, atau scroll Shopee tengah malam. Reka bentuk masih nampak premium, nipis, dan kalis air IP68, jadi dari luar memang nampak “Samsung flagship”.

Untuk S26 Ultra pula, Samsung masih kekalkan DNA phone besar. Skrin sekitar 6.8–6.9 inci, tapi badan dia dikatakan lebih nipis (sekitar 7.9 mm vs 8.2 mm) dan bucu dah tak setajam S25 Ultra. Maknanya, walaupun phone besar, genggam lama pun tak rasa terlalu sakit tangan. Yang ni memang khas untuk orang yang suka screen besar dan rasa macam pegang stail smartphone VIP sikit.


Rekaan Galaxy S26 Ultra dalam warna Cobalt Violet (Ungu)

Bab warna pula, S26 mungkin datang dengan warna yang lebih berani dan segar. Yang Ultra pula biasanya dapat warna eksklusif jenis nampak mahal, dengan kod warna Cobalt Violet dan Black.

Sekarang masuk bab kapasiti bateri, yang ni ramai orang suka dengar. Galaxy S26 dijangka naik ke sekitar 4,300mAh, berbanding 4,000mAh pada S25. Taklah lompat jauh, tapi cukup untuk bagi bateri tahan lebih lama sikit sehari. Cuma pengecasan masih sama iaitu 25W sahaja. Jadi jangan harap cas penuh dalam 20 minit macam smartphone China.

Tetapi untuk Galaxy S26 Ultra, cerita dia lain sikit. Bateri masih 5,000mAh, tapi kelajuan cas tu yang buat orang teruja. Bocoran kata boleh sampai sekitar 60W wired. Kalau betul, ni memang rare untuk Samsung. Cas cepat, tak payah tunggu lama, memang sesuai untuk orang sibuk.

Bab kamera pula, S26 masih kekal kamera utama 50MP. Tapi jangan pandang rendah pada nilai megapixel kamera. Samsung dijangka naik taraf sensor ultrawide, jadi gambar wide dan low-light lebih cantik dari S25. Namun kamera selfie masih standard resolusi 12MP sahaja.

Untuk S26 Ultra, kamera memang level lain. Kamera utama 200MP masih dikekalkan, tapi dengan sensor yang lebih baik. Gambar malam lebih terang, detail lebih ngam. Zoom pun dikatakan lebih tajam, sesuai untuk tangkap gambar bulan atau candid dari jauh.


Saiz skrin depan S26 versi biasa jadi saiz 6.3"

Dari segi prestasi pula, kedua-dua model akan guna cip terbaru iaitu Snapdragon 8 Elite Gen 5 untuk S26 Ultra atau Exynos 2600 untuk versi biasa S26. Yang penting S26 lebih laju dari S25, lebih jimat bateri, dan lebih fungsi ciri-ciri AI. Ultra kebiasaanya memang akan dapat versi cip paling padu, jadi kalau kaki game atau heavy user ambil versi Ultra memang puas hati.

Storan pun nampaknya macam ada penambahbaikkan. Galaxy S26 mungkin terus bermula dengan 256GB, tiada lagi 128GB. Ultra pula masih bagi pilihan sampai 1TB, sesuai untuk kaki video dan suka tangkap video resolusi 4K.

Paling menarik, kedua-dua phone ni dijangka datang dengan OS Android 16 dan One UI 8.5, lengkap dengan Galaxy AI yang lebih pintar seperti ciri edit gambar secara automatik, serta ciri keselamatan skrin lebih ketat dan dipertingkatkan pada Samsung Knox.


Kesimpulan Berbaloi Beli/Upgrade ke S26?

Samsung Galaxy S26 sesuai untuk orang yang nak flagship seimbang iaitu cantik, laju, bateri okay, storan besar. Galaxy S26 Ultra pula untuk orang yang memang nak “all out” dari segi kamera power, cas laju, prestasi paling atas.

Kalau anda sedang guna S25 sekarang, tak wajib upgrade. Tapi kalau lompat dari model lama, S26 ini memang nampak menarik untuk dipertimbangkan, yang penting anda ada duit.He2.

Terima kasih sudi baca post ini. Jumpa di post yang seterusnya.

Jan 20, 2026

Animasi 3D: Dunia Cerita Digital 3 Dimensi

 


Animasi 3D bukan lagi sesuatu yang asing dalam kehidupan kita. Dari filem kartun yang ditonton sejak kecil, iklan televisyen, permainan video sehinggalah ke animasi pendidikan dan perubatan, semuanya kini banyak bergantung kepada teknologi animasi 3D. Tapi, apa sebenarnya animasi 3D dan bagaimana ia berkembang menjadi satu industri besar hari ini? Jom kita fahami bersama-sama di dalam post ini.


Apa Itu Animasi 3D dan Sejarah Ringkasnya

Animasi 3D ialah teknik menghasilkan pergerakan objek dalam ruang tiga dimensi (panjang, lebar dan tinggi) menggunakan komputer. Berbeza dengan animasi 2D yang hanya rata, animasi 3D memberi ilusi objek yang lebih hidup, realistik dan boleh dilihat dari pelbagai sudut.

Sejarah animasi 3D bermula sekitar tahun 1970-an, apabila komputer mula digunakan untuk menghasilkan grafik ringkas. Antara detik penting dalam sejarah animasi 3D ialah:

1976 – Filem Futureworld menjadi filem pertama menggunakan grafik 3D.

1995Toy Story oleh Pixar mencipta sejarah sebagai filem animasi 3D penuh pertama di dunia.

Dah sampai siri yang kelima dah cerita ni

1998 – Keluang Man dihasilkan oleh Kamn Ismail menjadi perintis dalam penggunaan animasi hibrid, menggabungkan watak 2D tradisional dengan latar belakang 3D yang dijana komputer.



Sejak itu, animasi 3D berkembang pesat seiring kemajuan teknologi komputer dan perisian grafik.


Tujuan Dicipta Animasi 3D

Animasi 3D dicipta bukan sekadar untuk hiburan. Antara tujuan utama animasi 3D ialah:

  • Penceritaan visual – membantu menyampaikan cerita dengan lebih menarik dan emosi.

  • Pendidikan – digunakan dalam pembelajaran sains, perubatan, kejuruteraan dan sejarah.

  • Pemasaran & pengiklanan – menarik perhatian pengguna melalui visual yang kreatif.

  • Simulasi & latihan – digunakan dalam industri penerbangan, ketenteraan dan perubatan.

  • Permainan video & realiti maya (VR) – menjadikan pengalaman pengguna lebih imersif.

Blender, perisian animasi 3D


Senarai Syarikat Yang Menghasilkan Animasi 3D Terbaik

Beberapa syarikat terkenal dunia yang menghasilkan animasi 3D berkualiti tinggi ialah:

  • Pixar Animation Studios – terkenal dengan cerita menyentuh emosi seperti Toy Story dan Inside Out.

  • DreamWorks Animation – menghasilkan Shrek, Kung Fu Panda dan How to Train Your Dragon.

  • Walt Disney Animation Studios – pelopor animasi dengan teknologi 3D moden.

  • Illumination Entertainment – terkenal dengan Despicable Me dan Minions.

  • Blue Sky Studios – dikenali melalui Ice Age (sebelum ditutup pada 2021).

Di Malaysia pula, studio animasi tempatan seperti Les’ Copaque, Animonsta Studios, dan Wau Animation semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pelopor cerita animasi 3D di Malaysia


Proses Penghasilkan Animasi 3D

Penghasilan animasi 3D bukanlah kerja sehari dua, malah boleh jadi bertahun-tahun. Ia melalui 8 proses penting iaitu:

  1. Idea & Skrip – cerita dan jalan plot dirancang.

  2. Modeling – membina bentuk watak dan objek dalam bentuk 3D.

  3. Texturing – memberi warna, corak dan permukaan pada objek.

  4. Rigging – memasang ‘tulang’ digital supaya watak boleh bergerak.

  5. Animation – menggerakkan watak mengikut pergerakan yang realistik.

  6. Lighting – menetapkan pencahayaan untuk suasana tertentu.

  7. Rendering – menghasilkan imej akhir berkualiti tinggi.

  8. Post-Production – suntingan akhir, kesan bunyi dan muzik.

Proses memasukkan 'tulang'  (rigging) untuk mengerakkan karakter animasi 3D


Adakah Animasi 3D Lebih Baik Daripada Animasi 2D?

Jawapannya: tidak semestinya.
Animasi 3D dan 2D masing-masing ada kelebihan tersendiri:

  • Animasi 3D lebih realistik, sesuai untuk aksi, fantasi dan simulasi.

  • Animasi 2D lebih ringkas, artistik dan kuat dari segi ekspresi visual.

Pilihan terbaik bergantung kepada jenis cerita, bajet dan sasaran penonton. Banyak karya hebat masih menggunakan animasi 2D sehingga hari ini seperti Howl's Moving Castle dan The Boy and The Heron karya Studio Gibli, arahan pengarah animasi 2D terkenal di dunia, Hayao Miyazaki.


5 Contoh Cerita Animasi 3D Terbaik di Dunia dan di Malaysia

Dunia

  1. Toy Story – kisah persahabatan dan perubahan.

  2. Finding Nemo – pengembaraan dan kasih sayang keluarga.

  3. Shrek – humor unik dan jalan cerita luar kotak.

  4. Up – emosi mendalam dan mesej kehidupan.

  5. Frozen – ikatan kekeluargaan dan keberanian diri.

Malaysia

  1. Upin & Ipin – animasi tempatan paling ikonik.

  2. Boboiboy Movie – aksi dan nilai persahabatan.

  3. Ejen Ali: The Movie – penceritaan matang dan visual berkualiti.

  4. Pada Zaman Dahulu – kisah rakyat dengan sentuhan moden.

  5. Mechamato – gabungan teknologi dan emosi remaja.

  6. PapaZola The Movie – aksi dan nilai kekeluargaan.

Upin dan Ipin, 2 budak kembar yang semua rakyat Malaysia dan Indonesia kenal 😁


Kesimpulan: Animasi 3D dan Masa Depannya

Animasi 3D telah merevolusikan cara manusia bercerita dan berkomunikasi secara visual. Ia bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mendidik, mempengaruhi dan menghubungkan emosi penonton. Dengan kemunculan teknologi seperti AI, VR dan Metaverse, masa depan animasi 3D dilihat semakin cerah dan mencabar.

Tidak mustahil, pada masa hadapan, animasi 3D akan menjadi medium utama dalam pendidikan, komunikasi dan hiburan global. Bagi generasi muda yang berminat dalam dunia kreatif, animasi 3D adalah satu bidang yang sangat berpotensi untuk diterokai.

Terima kasih sudi baca post ini. Jumpa di post yang seterusnya.

Jan 12, 2026

Buat Buku Nota Lebih Mudah Dengan NotebookLM



Kalau anda pernah guna ChatGPT, Gemini atau Claude, sebenarnya anda sudah berinteraksi dengan LLM (Large Language Model). Tapi, pernah dengar pula istilah NotebookLM? Jangan risau, bunyinya memang teknikal, tapi konsep dia sebenarnya tak serumit mana macam difikirkan. Ia juga merupakan salah satu produk AI yang dihasilkan oleh Google.


Apa Maksud LLM Sebenarnya?

LLM ialah model kecerdasan buatan (AI) yang dilatih menggunakan jutaan hingga bilion perkataan daripada buku, artikel, laman web dan pelbagai sumber teks. Tujuan utama LLM adalah untuk:

  • Faham bahasa manusia

  • Menjawab soalan

  • Menulis karangan, kod pengaturcaraan, emel

  • Meringkaskan dokumen

  • Menganalisis informasi

Contoh LLM popular:

  • GPT (OpenAI)

  • Gemini (Google)

  • LLaMA (Meta)

  • Claude (Anthropic)


Jadi, Apa Pula NotebookLM?

NotebookLM ialah platform atau persekitaran kerja berbentuk buku nota (notebook) seperti Jupyter Notebook yang digabungkan dengan AI LLM. Dalam bahasa mudah:

NotebookLM = Buku nota pintar yang boleh berfikir dan menjawab soalan

Dalam satu notebook, anda boleh:

  • Masukkan teks, dokumen atau data

  • Tanya soalan berkaitan kandungan

  • Minta ringkasan automatik

  • Buat analisis atau idea penulisan

Semua ini berlaku dalam satu ruang kerja yang teratur, macam nota kuliah tapi versi AI.

Logo NotebookLM


Kenapa NotebookLM Sangat Berguna?

1. Mudah Untuk Faham Dokumen Panjang

Tak semua orang rajin baca laporan 50 muka surat. Dengan NotebookLM, anda boleh minta:

  • Ringkasan isi penting

  • Senarai poin utama

  • Penjelasan dalam bahasa mudah

Sesuai untuk pelajar, penyelidik dan staf pejabat.


2. Bantu Proses Pembelajaran

NotebookLM boleh bertindak sebagai:

  • Tutor peribadi

  • Pembantu ulang kaji

  • Rakan berbincang idea

Contohnya, anda boleh tanya:

“Terangkan konsep ini macam saya pelajar diploma.”

 

3. Jimat Masa & Lebih Teratur

Semua nota, soalan dan jawapan AI disimpan dalam satu notebook. Tak perlu lompat-lompat antara:

  • Google Docs

  • Chat AI

  • PDF berasingan

Semuanya tersusun dan mudah dirujuk semula. NotebookLM khususnya menarik kerana ia tidak mereka-reka jawapan, sebaliknya hanya merujuk kepada sumber yang anda berikan. Ia boleh menjana audio, video, peta minda, laporan, kad imbasan (flashcards), kuiz, infografik dan slaid hasil daripada sumber yang anda berikan.

Antaramuka utama NotebookLM


Contoh output Infografik janaan NotebookLM


Masa Depan Penggunaan NotebookLM

Dengan perkembangan AI yang sangat pantas, NotebookLM dijangka:

  • Digunakan meluas dalam pendidikan

  • Membantu penyelidikan akademik

  • Menjadi alat penting di tempat kerja

  • Mengubah cara kita buat nota dan belajar


Kesimpulan

NotebookLM bukan sekadar trend teknologi, tetapi satu teknologi yang memudahkan kerja manusia, membantu pembelajaran dan pengurusan maklumat. Ia menggabungkan nota digital dengan kebijaksanaan AI, menjadikan pengalaman belajar lebih interaktif, cepat dan menyeronokkan.

Kalau anda suka belajar dengan cara yang lebih pintar, boleh cuba NotebookLM di URL https://notebooklm.google.com/.


Terima kasih sudi baca post ini. Jumpa di post yang seterusnya.




Jan 6, 2026

10 Aplikasi Kesihatan Terbaik Untuk Smartphone Anda

 


Dalam dunia yang semakin sibuk hari ini, ramai daripada kita struggle nak cari masa untuk jaga kesihatan diri. Ada yang nak mula diet tapi tak tahu nak kira kalori, ada yang nak bersenam tapi tak ada masa pergi ke gym, dan ada juga yang cuma nak hidup lebih sihat tapi tak tahu nak mula dari mana.

Berita baiknya, sebenarnya telefon pintar kita boleh jadi “coach kesihatan peribadi” kalau kita guna aplikasi yang betul.

Dalam artikel ini, ada 10 Aplikasi Kesihatan Terbaik yang boleh membantu anda pantau aktiviti harian, bagi cadangan untuk makan lebih sihat, bersenam dengan lebih teratur, tidur lebih berkualiti dan boleh kurangkan stress anda. Semuanya hanya melalui smartphone anda sahaja.


Aplikasi 1: Google Fit


Google Fit ialah aplikasi kesihatan yang sangat ringkas tetapi sangat berguna. Ia membantu anda pantau langkah harian, kalori terbakar, serta memberi ‘Move Minutes’ dan ‘Heart Points’ sebagai motivasi untuk lebih aktif.
Coach peribadi alam maya anda, percuma tak perlu bayar

Cara Muat turun:
Android/iOS: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.google.android.apps.fitness


Aplikasi 2:  Apple Health (Untuk Pengguna iPhone)


Apple Health ialah pusat lengkap untuk semua data kesihatan anda. Ia memantau tidur, nutrisi, aktiviti, kadar denyut jantung dan lebih 100 jenis data lain untuk anda. Aplikasi ini lebih baik dan lengkap kalau anda menggunakan Apple Watch.

Semua analisa tentang anda dalam satu UI sahaja

Cara Muat turun:
iOS: Siap dipasang dalam semua iPhone (Health App)


Aplikasi 3:  Samsung Health

Samsung Health menawarkan tracker lengkap seperti kira langkah, tidur, stress level, pengiraan kalori, dan ada juga workout video. Aplikasi ini sangat mesra pengguna dan kalau anda guna telefon Samsung ia sudah siap dipasang. 
Ada S-Ring atau Samsung Watch lagi lengkap guna apps ini

Cara Muat turun:
Android: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.sec.android.app.shealth/https://apps.apple.com/us/app/samsung-health/id1224541484


Aplikasi 4:  MyFitnessPal


Ini adalah aplikasi kira kalori paling popular di dunia. Dengan lebih 14 juta item makanan dalam database, anda boleh tahu jumlah kalori dan nutrisi dalam setiap makanan yang anda ambil.
Siap boleh scan kalori makanan anda makan

Cara Muat turun:
Android/iOS: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.myfitnesspal.android/https://apps.apple.com/us/app/myfitnesspal-calorie-counter/id341232718


Aplikasi 5:  Nike Training Club (NTC)


Kalau anda nak workout tapi malas nak pergi gym, Nike Training Club memang pilihan terbaik. Dalam aplikasi ini ada ratusan video workout — strength, HIIT, mobiliti, stamina, semua ada!

Follow je video-video senaman, pasti lebih sihat anda jadinya

Cara Muat turun:
Android/iOS: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.nike.ntc&hl=en/https://apps.apple.com/us/app/nike-training-club/id301521403


Aplikasi 6:  Strava

Strava ialah aplikasi popular dan kegemaran pelari dan cyclist seluruh dunia. Ia menggunakan GPS untuk rekod larian dan kayuhan dengan sangat tepat. Selain itu, ia ada komuniti besar yang boleh buatkan anda lebih semangat untuk bersenam.
Lepas lari, kita post dalam story la baru ada semangat 😊

Cara Muat turun:
Android/iOS: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.strava/https://apps.apple.com/us/app/strava-run-bike-walk/id426826309


Aplikasi 7:  Calm


Kesihatan bukan hanya fizikal, kesihatan mental pun penting juga. Calm membantu anda tidur lebih baik, kurangkan tekanan, dan latih minda melalui meditasi.
Baca buku-buku ini, baru senang tido 😴

Cara Muat turun:
Android/iOS: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.calm.android&hl=ms/https://apps.apple.com/my/app/calm/id571800810?l=ms


Aplikasi 8:  Lifesum


Kalau anda nak kawal diet, memasak makanan sihat atau ikuti meal plan, Lifesum memang membantu. Ia menyediakan pelbagai pelan diet seperti keto, high-protein dan balanced diet.
Siap info detail lagi diet makanan ada apps ni beritahu

Cara Muat turun:
Android/iOS: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.sillens.shapeupclub&hl=en/https://apps.apple.com/us/app/lifesum-ai-calorie-counter/id286906691


Aplikasi 9:  Water Reminder / Hydration Tracker


Ramai tak sedar mereka kurang minum air setiap hari. Aplikasi ini akan ingatkan anda minum air mengikut sasaran yang anda tetapkan. Walaupun ringkas, sangat membantu untuk kekal sihat.
Jangan lupa minum ikut jadual diberi

Cara Muat turun:
Cari “Water Reminder” atau “Water Tracker” (banyak pilihan)


Aplikasi 10:  SmartBP / Blood Pressure Monitor Apps


Aplikasi ini sesuai kalau anda nak pantau tekanan darah secara konsisten. Ia menyimpan rekod, memaparkan graf dan membantu anda lihat trend kesihatan dari masa ke masa.
Kalau graf tak cantik boleh bikin marah doktor ni 😅

Cara Muat turun:
Cari “SmartBP” dalam App Store / Play Store


Kesimpulan: Kenapa Aplikasi Kesihatan Ini Penting?

  • Membantu anda kekal konsisten dalam hidup sihat
  • Memberi data sebenar tentang aktiviti & badan anda
  • Sangat memudahka, tak perlu beli alat mahal
  • Sesuai untuk semua golongan, termasuk yang baru nak mula bersenam
  • Boleh digabungkan — satu untuk senaman, satu untuk makanan, satu untuk tidur

Kesimpulannya, smartphone anda bukan sekadar untuk WhatsApp, TikTok dan game sahaja, ia lebih daripada itu. Dengan aplikasi yang betul, ia sebenarnya boleh bantu anda jadi lebih sihat setiap hari.
Selamat menjadi lebih sihat dan bertenaga.

Dec 31, 2025

10 Smartphone Mercu Terbaik Tahun 2025


Tahun 2025 menyaksikan persaingan sengit dalam dunia telefon pintar. Setiap jenama cuba menawarkan ciri unik: dari kamera dengan resolusi tinggi, cip terpantas, hingga reka bentuk premium dan bateri tahan lama. Sama ada anda pencinta fotografi, gamer tegar, atau pengguna biasa yang mahukan telefon padu, pasti ada model flagship yang sesuai untuk anda.

Berikut adalah senarai 10 Smartphone Mercu (Flagship) Terbaik 2025 yang wajib anda miliki:

No. 1: Samsung Galaxy S25 Ultra

Samsung Galaxy S25 Ultra kekal sebagai flagship paling lengkap. Dengan kamera 200 MP, cip terbaru Snapdragon 8 Elite Galaxy, dan paparan AMOLED besar yang memukau. Telefon ini memang sesuai untuk semua kegunaan dari segi fotografi, gaming, hingga kerja pejabat.

Kelebihan: Kamera serba boleh, skrin besar, prestasi mantap, S-Pen.
Paling sesuai untuk: Peminat fotografi & pengguna serba guna.
Harga Pasaran: RM 5,099

No. 2: iPhone 17 Pro Max

Apple terus mengekalkan keunggulannya dengan iPhone 17 Pro Max. Sistem kamera canggih, prestasi cip A17 terbaru, serta integrasi lancar dengan ekosistem iOS menjadikan telefon ini kegemaran ramai. Bateri iPhone yang paling tahan lama dapat memastikan penggunaan sepanjang hari tanpa perlu kerap mengecas lagi.

Kelebihan: Ekosistem Apple, prestasi stabil.
Paling sesuai untuk: Pengguna iPhone “power user”.
Harga Pasaran: RM 5,999


No. 3: Google Pixel 10 Pro XL

Google Pixel 10 Pro XL menonjol dengan kamera berteknologi AI (Gemini) yang hebat. Mod malam dan penghasilan gambar berkualiti tinggi menjadikan ia kegemaran pencinta fotografi. Android asli juga memberikan pengalaman sangat lancar dan cepat.

Kelebihan: Fotografi AI terbaik, sistem Android asli, pengecasan magnetik.
Paling sesuai untuk: Pencinta fotografi & peminat Android asli.
Harga Pasaran: RM 5,999


No. 4: OnePlus 15

OnePlus 15 menggunakan Snapdragon 8 Elite Gen 5, paparan 165Hz ultra lancar, pengecas 120W SUPERVOOC/50W AIRVOOC dan bateri besar. Pilihan alternatif kepada Google Pixel, tapi mahukan spesifikasi tinggi. Telefon ini sesuai untuk gaming, media, dan penggunaan harian yang memerlukan prestasi pantas.

Kelebihan: Responsif, pengalaman gaming hebat, 
Paling sesuai untuk: Gamers & pengguna prestasi tinggi, peminat One Plus dan Oxygen OS.
Harga Pasaran: RM 4,399


No. 5: Samsung Galaxy Z Fold 7


Telefon lipat generasi terbaru Samsung menawarkan pengalaman penggunaan yang unik. Boleh berubah bentuk dari telefon ke tablet dalam satu peranti. Skrin besar sesuai untuk produktiviti & multitasking.

Kelebihan: Paparan besar untuk kerja dan hiburan, rekaan Ultra Slim
Paling sesuai untuk: Pengguna produktiviti & kreatif.
Harga Pasaran: RM 7,199


No. 6: Honor Magic8 Pro

Honor Magic8 Pro menampilkan kamera 200 MP Ultra Night Telephoto, cip pantas Snapdragon 8 Elite Gen 5, dan paparan AMOLED 120Hz. Reka bentuk premium, bateri tahan lama, serta sistem operasi MagicOS yang lancar menjadikannya flagship yang lengkap.

Kelebihan: Kamera hebat, prestasi padu, reka bentuk moden, kecerahan 6,000 nits.
Paling sesuai untuk: Pengguna serba boleh & pencinta fotografi.
Harga Pasaran: RM 4,599


No. 7: Vivo X300 Pro


Vivo X300 Pro menawarkan pengalaman visual dan gaming hebat. Kamera AI canggih, paparan ultra lancar, dan cip berkuasa membuatkan telefon ini sesuai untuk yang mahukan prestasi multimedia tanpa kompromi.

Kelebihan: Paparan lancar, kamera AI pintar, lensa ZEISS
Paling sesuai untuk: Gamers, pencinta fotografi dan multimedia.
Harga Pasaran: RM 4,699


No. 8: Huawei Pura 80 Ultra


Huawei Pura 80 Ultra menggabungkan dua kamera teleskopik premium, paparan OLED menawan, dan bateri besar. Reka bentuk elegan serta prestasi mantap menjadikannya flagship sesuai untuk pengguna yang menghargai gaya dan kualiti.

Kelebihan: Kamera hebat, paparan cantik, aperture boleh ubah
Paling sesuai untuk: Pengguna yang mementingkan gaya, prestasi dan kelainan.
Harga Pasaran: RM 4,999


No. 9: Oppo Find X9 Pro


Oppo Find X9 Pro mengekalkan reputasi sebagai salah satu telefon dengan kamera terbaik. Reka bentuk premium dan prestasi padu menjadikannya pilihan serba boleh bagi pengguna yang mahukan telefon semua dalam satu.

Kelebihan: Kamera kuat, bateri silikon karbon terbesar 7500 mAh, kamera talaan Hasselblad.
Paling sesuai untuk: Pengguna yang mementingkan peranti serba boleh dan lengkap.
Harga Pasaran: RM 4,999


No. 10: Sony Xperia 1 VII


Sony Xperia 1 VII menumpukan pengalaman multimedia, paparan tajam, audio berkualiti tinggi (Hi-Fi), dan sokongan perisian seakan profesional. Ia sesuai untuk pencinta filem, muzik, dan media kreatif.

Kelebihan: Audio hebat & paparan filem.
Paling sesuai untuk: Pengguna kreatif & pencinta Sony.
Harga Pasaran: RM 5,499


Kesimpulan

Tahun 2025 adalah era saingan paling sengit dalam smartphone mercu, dari kamera paling hebat, cip terkini, hingga paparan memukau. Sama ada anda pencinta foto, gamer tegar, atau pengguna biasa, pasti ada model sesuai dengan gaya hidup anda. Dengan senarai ini, memilih telefon mercu terbaik kini lebih mudah dan jelas. So apakah pilihan smartphone mercu anda dalam tahun 2025???

Terima kasih sudi baca post ini. Jumpa di post yang seterusnya di tahun 2026. Selamat Tahun Baru!


Nov 26, 2025

7 Tips Videografi Menggunakan Smartphone Macam Pro

 


Zaman sekarang, siapa pun boleh jadi videografer, asalkan ada sebuah smartphoneTak perlu pakai kamera mahal pun, sebab teknologi telefon pintar sekarang dah cukup hebat. Tapi kalau nak hasil rakaman nampak cinematic dan tak macam rakaman biasa-biasa, ada beberapa tips yang boleh bantu anda. Jom baca tips di bawah ini.


Tips 1: Belajar Gunakan Aplikasi Kamera Tersedia (Native Camera App)

Ramai suka rakam guna aplikasi media sosial terus, tapi sebenarnya aplikasi kamera tersedia dalam telefon lebih baik dari segi kualiti. Aplikasi seperti TikTok atau Instagram biasanya mampatkan (compress) video.
Gunakan aplikasi kamera tersedia supaya kamu dapat resolusi penuh, frame rate stabil dan lebih fleksibel untuk edit kemudian. iPhone 15 Pro dan Samsung Galaxy S24 boleh rakam hingga 4K 60fps, setanding dengan kamera profesional.

iPhone top smartphone dalam videografi


Tips 2.: Pencahayaan Itu Asas No. 1 

Kalau rakaman gelap, video terus nampak murah. Pastikan kamu ada sumber cahaya cukup, sama ada cahaya matahari atau ring light. Kalau berada di luar, elak rakam tengah hari sebab bayang terlalu keras. Waktu terbaik ialah pagi atau senja (orang panggil golden hour) sebab warna cahaya lebih lembut dan cantik di kamera.

Waktu matahari terbit atau terbenam memang cantik 


Tips 3: Guna Tripod atau Gimbal Jika Ada

Kalau tangan goyang masa rakaman, video pun nampak gegar dan pening bila tengok 😅
Guna tripod untuk rakaman statik atau gimbal stabilizer kalau nak gerak. Ini bantu elak shaky footage dan beri rupa lebih profesional.
Kalau tiada gimbal, boleh juga sandarkan telefon pada benda stabil, contohnya dinding atau botol air.

Gimbal brand DJI memang terbaik


Tips 4: Sentiasa Jaga Kualiti Audio

Ramai orang lupa bahagian ni, padahal audio sama penting dengan visual. Gunakan mikrofon luaran kalau boleh (contohnya Lavalier mic yang murah pun dah cukup baik). Kalau tak ada, cuba rakam di tempat yang senyap dan jauh dari kipas atau bunyi angin. Kajian menunjukkan penonton lebih mudah stay menonton video dengan audio jelas, walaupun kualiti gambar biasa-biasa.

Pakai mic brand Boya untuk audio mantap


Tips 5: Rancang Shot dan Sudut Rakaman

Jangan main tekan “record” je! Sebelum rakam, rancang dulu shot, sama ada mahu ambil close-up, wide shot, atau slow motion. Kalau rajin, bina dulu jalan cerita (storboard) video anda. Tips tambahan, cuba guna Rule of Thirds untuk komposisi yang menarik.

Kalau nak video lebih dinamik, cuba pelbagai sudut rakaman dan jangan takut untuk bereksperimen.

Bina storyboard pakai aplikasi je


Tips 6: Edit Guna Aplikasi Yang Power

Rakaman dah siap? Sekarang masa untuk buat magic.
Guna aplikasi seperti:

  • CapCut – mudah dan banyak preset cinematic

  • VN Video Editor – percuma dan bebas watermark

  • InShot – sesuai untuk video sosial media

  • LumaFusion (iOS) – tahap profesional

  • Adobe Premiere Rush – serasi dengan semua platform

Tambahkan color grading, muzik lembut atau rancak, dan transition supaya video nampak kemas.

CapCut aplikasi edit video paling popular


Tips 7: Selalu Bereksperimen dan Belajar Dari Video Orang Lain

Akhir sekali, jangan takut mencuba. Tengok video YouTuber atau TikToker yang anda suka, perhati macam mana mereka guna cahaya, pergerakan kamera dan tempo muzik.
Semakin banyak kamu rakam, semakin baik hasilnya. Practice make perfect gitu 😁


Kesimpulan

Videografi guna smartphone bukan sekadar tekan “record”,  tapi tentang kreativiti, komposisi dan teknik. Dengan sedikit latihan dan tips ni, anda boleh hasilkan video yang nampak macam hasil profesional. Ingat, bukan kamera yang penting, tapi mata dan idea di sebaliknya

Terima kasih sudi baca post ini. Jumpa di post yang seterusnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...